13 Sep 2025
Legasi Tempatan, 89 Tahun Dalam Pembinaan
3 September 2025, Rabu — Sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, Caltex Malaysia turut mencatatkan detik bersejarah iaitu ulang tahun ke-89 penubuhannya. Selain menjadi masa untuk refleksi dan pembaharuan, syarikat ini juga mengambil peluang – seperti yang sering dilakukan – untuk menghargai dedikasi tidak berbelah bahagi daripada warga kerjanya yang telah membentuk legasi serta komuniti Caltex selama hampir sembilan dekad.
“Secara ringkasnya, sejarah Caltex di Malaysia adalah bukti kepada kecemerlangan dan inovasi yang diterajui oleh insan-insan kami,” kata Leong Jee Wong, Pengerusi Negara Caltex Malaysia. “Pasukan Caltex Malaysia sentiasa dianggap sebagai keluarga jauh dari rumah, dan kami meraikan kejayaan mereka seolah-olah ia kejayaan kami sendiri.”
Hari ini, syarikat mengukuhkan lagi komitmennya terhadap pekerja, rakan kongsi dan pelanggan, meraikan semangat serta usaha yang telah menggerakkan Caltex ke hadapan. Antara warga terbaik Caltex ialah individu yang menzahirkan nilai komitmen, inovasi dan kekeluargaan—ciri utama budaya kerja Caltex Malaysia.
Vitini Josak, Penyelaras Utama Logistik & Sokongan Operasi, Rantaian Bekalan Bersepadu Antarabangsa, Caltex Malaysia
Memulakan kerjaya bersama Caltex sebagai graduan baharu pada usia 22 tahun, Vitini Josak berkembang daripada seorang pekerja muda kepada seorang pemimpin yang kini membimbing generasi baharu. Kini, beliau merupakan Penyelaras Utama di bahagian Logistik & Sokongan Operasi dalam Rantaian Bekalan Bersepadu Antarabangsa (IISC).
Pada usia 29 tahun—ketika jawatan kepimpinan kebanyakannya disandang oleh lelaki—Vitini menongkah arus dan mencipta sejarah sebagai Pengurus Terminal wanita pertama di Caltex.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin pasukan dan mengurus sebuah terminal. Saya terharu apabila ada rakan wanita yang lebih muda menyatakan bahawa mereka terinspirasi dengan peranan saya sebagai pemimpin wanita,” ujar Vitini.
Membuka peluang kepada lebih ramai wanita di Caltex, Vitini turut bersama membangunkan program Women in Operations pada tahun 2022. Platform Kepelbagaian dan Inklusiviti ini menggalakkan wanita berkongsi pengalaman serta memberi sokongan antara satu sama lain dalam sesi berkumpulan. Program ini turut menarik penyertaan lelaki bagi memahami dinamika bekerja dengan wanita, khususnya selepas sebelum ini hanya bekerja dalam pasukan serba lelaki.
Mencerminkan semangat Merdeka, perjalanan beliau meruntuhkan batasan, meraikan kepelbagaian, dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk melangkah maju dengan penuh ketabahan.
Steven Ho, Pakar Perkongsian NFR, Caltex Malaysia
Bagi Steven Ho, Caltex ibarat sebahagian daripada dirinya seperti mana beliau menjadi rakyat Malaysia. Memulakan perjalanan kerjaya pada tahun 1998, beliau telah mengabdikan lebih 27 tahun bersama syarikat. Setelah menimba kepakaran dalam pelbagai jabatan, beliau kemudian beralih ke sektor Non-Fuel Revenue (NFR).
Steven membangunkan kepakaran dalam Polymer Modified Asphalt (PMA) untuk pasaran Malaysia—yang pertama dalam sejarah Caltex Malaysia. Inovasi ini amat penting memandangkan iklim panas dan lembap negara yang boleh menyebabkan asfalt biasa lebih cepat rosak.
Kini, beliau terus mendorong kerjasama inovatif dan menjana aliran pendapatan baharu untuk syarikat sebagai Pakar NFR. Namun, di sebalik kerjayanya, hubungan erat dengan warga Caltex menjadi tunjang pengalaman beliau.
“Tempat kerja di sini sudah menjadi seperti rumah kedua saya,” kata Ho. “Rakan sekerja sentiasa bersama saya dalam suka dan duka. Sebahagian daripada mereka sudah seperti keluarga.”
Hisham bin Abd. Rahman & Norazni binti Ali (Rakan Niaga Runcit)
Bagi Hisham dan Norazni, menguruskan stesen Caltex Asmah Ketereh merupakan legasi keluarga. Ditubuhkan pada tahun 1969 oleh Allahyarham Cikgu Ali bin Muhammad, stesen ini diwarisi turun-temurun, dan sejak 2006 pasangan ini mengambil alih pengurusan.
Walaupun industri bahan api banyak berubah hampir dua dekad, stesen ini tetap teguh. Hisham dan Norazni kekal berpegang pada misi mereka untuk membina komuniti mesra dan erat serta mengekalkan reputasi sebagai stesen minyak kejiranan yang dipercayai—menjadi simbol kebersamaan di Malaysia.
“Tempat kerja ini adalah ruang untuk saya membina hubungan, belajar dan berkembang dalam bidang pengurusan stesen minyak,” kata Hisham. “Sebagai rakan niaga Caltex Malaysia, pengalaman ini telah memberikan pelbagai pengajaran dan pengalaman berharga, baik secara peribadi mahupun profesional.”
Beliau turut mengingati saat bermakna apabila menerima anugerah kerjasama 50 tahun pada Konvensyen Runcit Caltex di Sabah pada 2019. Namun, meskipun mencapai kejayaan besar ini, mereka tetap komited terhadap misi harian—menguruskan stesen dengan semangat dan dedikasi yang sama seperti legasi keluarga terdahulu.
Manimaran A/L Nallianna & Maninadarajan A/L Nallianna (Rakan Niaga Runcit)
Menjadi rakan niaga rasmi Caltex pada tahun 2011 merupakan satu langkah berani bagi dua beradik, Manimaran dan Maninadarajan. Namun, langkah itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengembangkan operasi sehingga 10 stesen di seluruh Malaysia—dan kini menjadi perniagaan keluarga.
“Perjalanan kami sangat panjang,” kongsi Manimaran. “Kami bermula dengan latihan yang terhad dan hampir tiada pengetahuan tentang industri. Terima kasih kepada Caltex, kini generasi seterusnya turut bersama kami untuk belajar dan membawa perniagaan ini ke tahap yang lebih tinggi. Kami bangga dapat membina sesuatu yang boleh diwarisi.”
Mereka mengakui perjalanan sebagai rakan niaga tidak pernah mudah. Mengurus perniagaan 24 jam sehari, 365 hari setahun dalam industri yang ketat peraturannya datang bersama pelbagai cabaran. Berurusan dengan pelanggan pelbagai latar belakang juga mencabar, apatah lagi untuk kekal relevan dengan trend dan keperluan semasa.
Namun, ketabahan dan kreativiti merekalah yang membawa mereka melalui saat sukar—daripada bergegas ke stesen pada waktu malam untuk menangani kecemasan hinggalah bertahan semasa pandemik.
“Ia memberi kami peluang untuk membuat perubahan dalam kehidupan orang ramai,” sambung Manimaran. “Tindakan mudah seperti membantu mengisi minyak atau menyediakan tandas yang bersih sangat dihargai. Sebagai rakyat Malaysia, kami bangga dapat menyokong komuniti setempat, membantu sekolah, dan memberi kesan positif kepada orang di sekeliling kami.”
Selama hampir sembilan dekad, Caltex sentiasa berdiri bersama rakyat Malaysia menghadapi cabaran dan kejayaan, memupuk pertumbuhan, ketahanan dan inovasi—menyemarakkan kehidupan, keluarga, dan komuniti di seluruh negara. Syarikat terus komited untuk memperkasakan warganya melalui persekitaran kerja yang inklusif dan menyokong, serta membina legasi yang mencerminkan kekuatan Malaysia itu sendiri.
“Warga kerja kami adalah pemacu utama kejayaan kami. Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia ini, kami menghargai semangat, ketabahan, dan komitmen mereka di Caltex Malaysia. Kami akan terus melabur untuk perkembangan mereka, meraikan pencapaian mereka, dan mencipta peluang untuk mereka terus maju,” tambah Leong.
Melangkah ke masa depan, Caltex Malaysia kekal teguh dengan janji untuk Menggerakkan Kebahagiaan Lebih Jauh bagi generasi akan datang.